FACEBOOK: Persimpangan Antara Syurga Ataupun NERAKA.
Hari ini, hampir semua lapisan masyarakat mempunyai akaun Facebook tidak kira latar belakang pengajian, yang muda, yang tua, yang di kampung dan yang di bandar.
Facebook menjadi kegilaan semua sehingga di kalangan anak muda, sesiapa yang tidak mempunyai facebook dianggap koman, lekeh dan ketinggalan zaman.
TEKNOLOGI yang dijadikan TIKET NERAKA!
Tanpa disedari, ada sesetengah daripada kita yang mempunyai akaun facebook ini telah MEMBELI TIKET NERAKA kerana MELAKUKAN DOSA SECARA BERTERUSAN dan secara TERANG-TERANGAN.
Amat sedih melihat yang muslimat sedia, suka dan rela tubuh badannya dijadikan tatapan dan hidangan mata bagi yang bukan mahram dengan gambar yang tidak menutup aurat. Jika bertudung, bajunya ketat. Walau baju tidak ketat, lengan baju pula pendek. Bagi mereka yang tidak mengetahui aurat wanita, perlulah diingat bahawa semua tubuh badan wanita adalah aurat kecuali tapak tangan dan muka sahaja…Dan sesiapa yang memakai pakaian yang menampakkan bentuk tubuh mereka sebenarnya dikira tidak menutup aurat.
Ramai juga akan berkata ‘hello, i solat tau!’
Perlu diingatkan bahawa solat itu sebenarnya dan sepatutnya menjadi benteng dan penghalang daripada kita melakukan perbuatan maksiat dan akan lebih takut kepada Allah tetapi malangnya, solat hanya menjadi adat bagi kebanyakan orang Melayu sehingga sanggup mengeluarkan ayat sedemikian sedangkan ALLAH memerintahkan kita melaksanakan Islam secara menyeluruh dan bukan mengambil yang mana berkenan di hati sahaja.
Mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan ini dengan menyiarkan gambar mereka yang tidak menutup aurat untuk tontonan ramai seolahnya tidak takut kepada ALLAH bahkan mencabar kekuasaan ALLAH.
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: ‘Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit’ .” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa mereka yang melakukan maksiat dimalam hari perlulah menutupnya jangan di ceritakan kepada orang lain di siang harinya kerana Allah SWT telah menutup keaibannya. Sekiranya dia menceritakannya ini bermakna dia seronok dengan perkara maksiat tersebut dan mendedahkan dirinya sendiri kepada perkara yang dibenci oleh Allah SWT. Bagaimana pula dengan akaun Facebook anda yang mendedahkan bentuk badan anda kepada tatapan yang bukan mahran. Bukan sahaja tiap hari, tiap minit bahkan tiap saat ANDA MELAKUKAN DOSA SECARA TERANG-TERANGAN.
MACAM-MACAM AKSI LENTUK
Bukan sahaja gambar yang mendedahkan aurat, bahkan ada pasangan suami isteri yang menyiarkan gambar mereka berdua, lebih-lebih lagi pasangan pengantin baru. Begitu galak menyiarkan gambar-gambat aksi kucup dahi, peluk memeluk, aksi di atas katil bersama pasangan malah yang tambah menyedihkan ada di antara mereka ialah mereka yang bergelar ustaz dan ustazah.
Di mana sifat malu kita? Adakah perlu untuk kita menyiarkan gambar seperti itu? Tidak cukupkah kita sekadar menyiarkan gambar biasa tanpa aksi tangkap lentuk tersebut?
Bahkan sebagi seorang suami, saya lebih suka tidak menyiarkan gambar isteri saya untuk tatapan umum kerana ia melibatkan maruah.~Cuma ada gambar zaujah saya yang saya siarkan semasa akad nikah kami..Itupun tidak nampak muka~
Banyak lagi yang ingin diperkatakan mengenai Facebook ini. InsyaALLAH saya akan menyambungnya jika diizinkan ALLAH.
Komen