Hanya dengan mengingati Allah, Jiwa kan tenang

Archive for the ‘Sharing is…….’ Category

BERSIH 2.0:Amaran dan Amarah

BERSIH 2.0 bukanlah permulaan. Sebelum ini, pada tahun 2007 seingat saya, kempen BERSIH pernah diadakan.Pada tahun ini, BERSIH dianjurkan sekali lagi dan pastinya ia bukanlah pengakhiran sekiranya tuntutan BERSIH ini tidak diambil perhatian oleh pihak kerajaan.

IMBASAN BERSIH 1.0

Kempen pada tahun 2007 yang bertujuan mengumpulkan seramai 100 ribu orang rakyat untuk berarak menghantar memorandum kepada YDP Agong disifatkan sangat berjaya walaupun melihatkan keganasan polis yang selayaknya menjadi samseng.

Mata sendiri menjadi saksi bagaimana polis telah menyembur air kimia ke Masjid Jamek, salah satu tempat bertolak peserta demo. Ingatkan, yahudi dan Zionis sahaja yang berani menyerang rumah ibadat…Rupanya orang Islam juga tanpa rasa berdosa menyerang jamek. Keluar sahaja daripada pintu jamek, tekak terasa perit. Kesan air kimia tersebut. Mujur ada bekalan garam, melegakan seketika perit itu.

Seterusnya, kami disekat daripada pelbagai penjuru. Akhirnya di depan SOGO kalau tidak salah saya, kami diserang dengantear gas yang ditembak dan dengan sengaja ditujukan kepada kami. Kuatnya kesan tear gas ini, yang terkena saki baki sahaja sudah boleh rebah kerana sesak nafas. Sayu melihat beberapa orang pak cik yang bersemangat mahukan perubahan dalam negara, rebah kerana sesak nafas.

Akhirnya, kumpulan yang bersama saya kira-kira 10 ribu orang berjaya juga sampai ke istana negara walaupun rakan-rakan daripada kumpulan lain sudah sampai awal daripada kami.

Wajah letih tetapi puas jelas kelihatan pada wajah masing-masing. Dalam pada itu, sudah tentu sakit hati kepada pihak polis masih menebal.

BERSIH 2.0

Saya tidak dapat mengikuti BERSIH 2.0 walaupun hati sememangnya mahu turut serta. Apakan daya, ketika itu saya masih di luar negara.

Apa yang dapat kita lihat, rupanya BERSIH 1.0 memberikan impak juga sebenarnya kepada kerajaan. Buktinya, BERSIH 2.0 disekat daripada segenap sudut. Pihak polis dan kerajaan menjadi seperti kartun. Tidak pernah terbayang di benak pemikiran sesiapa sahaja, memakai baju kuning merupakan satu kesalahan.

Polis dikerahkan menangkap sesiapa yang ada kaitan dengan BERSIH. Seolahnya Malaysia bersih daripada jenayah kerana polis begitu leka memberikan tumpuan kepada BERSIH 2.0 sedangkan banyak lagi kes jenayah yang belum diselesaikan. Ataupun, polis yang berlagak kuat di hadapan peserta demo yang tak bersenjata itu( ada senjata lepas tu ramai-ramai belasah seorang boleh la) lebih senang membanteras BERSIH kerana sedia maklum, BERSIH tidak ganas, tidak menggunakan senjata seperti kes jenayah lain. Takut mati juga rupanya polis ni.

Semua kenderaan disekat memasuki Kuala Lumpur. Sekatan jalan di merata tempat.Peniaga dilarang berniaga. Cakaplah, apa sahaja cara, semua digunakan mereka untuk menyekat perhimpunan ini berjaya. Rasanya, tindakan polis ini yang menyusahkan orang ramai dan bukannya BERSIH yang menyusahkan orang ramai.

Akhirnya, pada 9 Julai…Siapa sangka rakyat masih tidak takut untuk berhimpun walaupun sedia maklum, layanan istimewa polis sedia menanti. Entah daripada mana, semakin ramai rakyat yang berhimpun. Tahniah, ini merupakan kejayaan awal bagi rakyat!

KEGANASAN POLIS DAN SANDIWARA mereka

Pengamatan saya melalui gambar dan video, rasanya polis telah bertindak di luar kawalan. Seolahnya GILA MEROYAN. Tear gas ditembak dengan begitu banyak sedangkan untuk menyuraikan, jumlah yang sedikit sudah memadai kerana kesannya yang kuat. Setelah tear gas ditembak, polis meluru menyerang mereka yang tidak melawan. Zalim, zalim.itu sahaja perkataan yang mampu diucapkan. Tindakan mereka ini seolah memang  mahu membunuh.

Apa yang menariknya, keesokannay keluar cerita yang BERSIH tidak berjaya. Hanya 6 ribu orang yang hadir. Menafikan keganasan polis. Menafikan polis menyerang 2 buah hospital swasta. Sandiwara yang mereka cuba mainkan ini hanya menyebabkan diri mereka dilihat sebagai BADUT ANTARABANGSA.

Terlalu banyak saksi dan bukti gambar/video yang menyatakan sebaliknya. Alhamdulillah, capaian internet pada hari ini menyebabkan lebih ramai rakyat sudah mengenali BADUT ANTARABANGSA tersebut.

AMARAN dan AMARAH

BERSIH 2.0 adalah AMARAN awal rakyat kepada kerajaan yang sudah tidak sanggup ditekan sedangkan kroni hidup senang-lenang. Ia AMARAH rakyat yang sudah tidak sanggup dipimpin oleh mereka yang sering menyalahgunakan kuasa dan pecah amanah. Kagum melihat semua bersatu tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik semata-mata sayangkan negara.

Sekiranya AMARAN dan AMARAH ini tidak dibendung secara berhikmah, saya yakin kerajaan akan melihat TSUNAMI yang akan menenggelamkan mereka. Gelombang kesedaran akan terus membesar selagi perubahan tidak dilakukan.

PASCA BERSIH

Gelombang pasca bersih sudah rancak di sana sini. Begitu banyak halaman di FB yang diwujudkan. Antaranya  100,000 people request Najib resign. Dalam tempoh dua hari sahaja, jumlah yang like halaman ini mencecah 100 ribu orang. Rakyat mengata dan mengutuk kerajaan di sana sini. Harapnya api kebangkitan ini akan terus membesar dan membesar, membakar kerajaan UMNO-BN.

BANGKITLAH semua, Bangkitlah dari tidur yang lena. Sama-sama kita bermandi keringat hatta darah sekalipun untuk membebaskan Malaysia daripada penjajah era baru.

Syria : Tarsyidus Sohwah

Artikel ni dicopy daripada laman web: Ustaz Hafizullah Muda
Tarsyidus Sohwah ( Memimpin Perubahan)

Seminggu kebelakangan ini, Syria diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Walaupun keadaan secara zahirnya adalah tenang, tetapi desas-desus untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran selalu sampai kepada kami di sini. Negeri yang telah ‘panas’ di Syria ini adalah Dar’aa, sebuah negeri di selatan Syria yang berhampiran dengan Jordan.

2 hari lepas, telah berlaku demonstrasi secara menyeluruh di Syria. Hampir setiap negeri ada dilakukan demonstrasi termasuklah di Damsyik walaupun tidaklah terlalu besar. Sebagaimana yang dilaporkan, protes yang dilakukan buat masa ini bukanlah untuk menggulingkan kerajaan, tetapi menuntut kerajaan untuk membuat perubahan dan reformasi dalam politik negara dan perundangan. Mereka menuntut lebih kebebasan dan penghapusan Emergency Law (Undang-undang Darurat) yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa bicara. Kalau di Malaysia tu, kita panggil ISA lah.

Telah banyak analisis yang telah dibuat oleh penganalisis-penganalisis politik di seluruh dunia dan tidak mungkin untuk dimuatkan dalam satu artikel. Bagi saya sendiri, agak sukar mengulas politik Syria kerana kami memang dipesan sejak melangkah kaki ke bumi Syria untuk kurangkan perbincangan mengenai politik dalaman, SB berada di mana-mana. Saya hanya mendapat banyak maklumat politik Syria ketika memegang jawatan dalam PPMS kerana PPMS bernaung di bawah Parti Baath, parti pemerintah Syria.

Secara kasarnya, selepas berlaku penggulingan kuasa oleh Hafiz al-Asad, bapa kepada Presiden Syria sekarang, Syria diperintah secara diktator. Hafiz dahulunya ialah ketua tentera Syria. Pemerintahan diktatornya memberi trauma kepada rakyat khususnya apabila mengenang peristiwa pengeboman perkampungan Ikhwan Muslimun di Hama pada 1982. Setelah meninggal, kerusi Presiden Syria diambil alih oleh anak Hafiz, Basshar. Basshar merupakan seorang doktor perubatan. Imejnya agak bersih pada pandangan rakyat. Sejak mengambil alih pemerintahan pada tahun 2000, agak banyak perubahan yang dibuat olehnya khususnya dalam mengubah sosio-ekonomi rakyat. Dasar ekonomi tertutup yang diamalkan sebelum ini diubah kepada dasar terbuka. Ini menyebabkan banyak pelabur-pelabur masuk ke Syria. Beliau amat menyukai Dr.Mahathir sehingga melantiknya sebagai penasihat ekonomi Syria. Malah, hanya dengan 1 lawatan Dr.Mahathir, pelajar Malaysia diberi kouta untuk belajar di Universiti Damascus secara percuma. Basshar sememangnya popular di kalangan rakyatnya.

Namun, ramai yang tidak tahu bahawa pentadbiran Syria dikawal oleh satu kumpulan minoriti daripada Syiah ‘Alawi. Mereka inilah yang berada di sekeliling Basshar. Ibarat “company” dalam kisah Prison Break, mereka mengawal Syria dan menjadikan Presiden hanya sebagai alat. Kumpulan ini dahulunya adalah golongan yang tertindas, akan tetapi apabila telah berkuasa mereka amat menjaga kedudukan tersebut. Ini menyebabkan dalam sesetengah keadaaan, Presiden telah bersetuju dengan sesuatu perkara tetapi ‘tersangkut’ dengan kumpulan ini. Hasilnya, rakyat merasakan hidup mereka tidak bebas kerana sering diganggu oleh SB yang mengawal mereka daripada sebarang aktiviti menentang dan melawan mereka. Alasan yang diberikan ialah “Perkara ini tidak boleh disebabkan berkaitan dengan masalah keselatamatan…bla…bla..bla”. Orang yang belajar agamalah yang sering menjadi mangsa, sama ada di jamik-jamik mahupun di institusi pengajian rasmi.

6 bulan yang lalu, tidak terlintas di benak seorang pun di Syria ini bahawa akan ada sebarang tunjuk perasaan menentang kerajaan. Tetapi hari ini, orang yang tinggal di Damsyik pun sudah berani membicarakan mengenai politik dalaman di tempat-tempat awam.

PERKONGSIAN BERMAKNA

Baru-baru ini, saya sempat mengikuti rombongan Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), UKM mengunjungi Dr.Tawfiq Ramadhan di rumahnya. Beliau adalah anak kepada ulama’ besar Sheikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti, pengarang kitab Fiqh Sirah.

Dalam pertemuan itu, Dr.Taufik banyak juga menjelaskan suasana politik di Syria, sesuatu yang jarang dilakukan sebelum-sebelum ini. Beliau menceritakan bahawa ulama-ulama Syam telah berjumpa dengan Presiden Basshar untuk menyatakan pendirian mereka dalam hal-hal semasa. Kesemua mereka menyatakan bahawa tidak akan mengadakan usaha revolusi & penggulingan terhadap kerajaan. Namun, dalam pertemuan itu mereka banyak menegur tindakan-tindakan kerajaan termasuk menteri-menteri dalam kabinet Basshar yang tidak suka kepada perkembangan Islam. Teguran dibuat secara terus dan tidak bertapis.

Suasana yang tidak stabil sekarang katanya cuba digerakkan oleh seorang pemimpin pembangkang (saya tak ingat namanya) yang ingin mengambil kesempatan dengan suasana tidak stabil di Asia Barat. Dr.Taufik menyatakan, walaupun dia tidak bersetuju dengan Presiden, ia tidak bermakna dia akan melakukan onar dalam Syria dan menggantikan dengan orang yang lebih teruk daripada Basshar.

Perkara utama yang diulas panjang pada pertemuan itu adalah Tarsyidus Sohwah (Memimpin Kebangkitan). Katanya, perubahan yang berlaku sekarang ini memerlukan kepada kajian dan tindakan yang berhati-hati. Sambil memberikan contoh Algeria, Afghanistan dan beberapa contoh lain, sangat penting bagi umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kerajaan zalim ditumbangkan tetapi digantikan dengan kerajaan yang zalim juga. Dia memuji kebangkitan rakyat Turki yang dikira berada di landasan kejayaan kerana perubahan berlaku dalam keadaan smooth setelah banyak belajar daripada pengalaman kebangkitan-kebangkitan sebelumnya. Kebangkitan mereka terpimpin dan tindakan mereka tepat mengikut keadaan dan keperluan.

Ulasan ini membuatkan saya teringat kepada pesanan Ayah Chik supaya kita tidak isti’jal dalam mencapai kemenangan. Katanya “Biarlah lambat sedikit kemenangan tu, asalkan ianya masak & matang.” Kemenangan yang tidak masak menyebabkan kedudukan kita tidak kukuh dan goyah menyebabkan musuh mudah mengalahkan kita. Contoh mudah yang dapat dilihat ialah sejarah kemerdekaan negara-negara orang Islam. Kebanyakan perjuangan kemerdekaan diperjuangkan oleh kumpulan-kumpulan Islam tetapi setelah kemerdekaan, ia diambil alih oleh golongan lain. Inilah yang berlaku di Malaysia, Indonesia, Algeria, Syria dan Afghanistan. Begitu juga, setelah kemerdekaan ada golongan Islam yang menentang kezaliman tetapi setelah jatuh sebuah kezaliman, ia digantikan dengan kezaliman yang lain. Itulah yang berlaku di Indonesia selepas Sukarno dan di Mesir pasca Anwar Sadat.

BEKALAN SEPANJANG JALAN

Sebagai orang yang ingin memperjuangkan Islam, sangat penting bagi kita untuk menghayati ayat 88 & 89 surah Yunus. Ayat ini menerangkan kepada kita doa permohonan yang dikemukakan oleh nabi Musa a.s dan nabi Harun a.s kepada Allah yang kemudiannya diperkenankan oleh Allah dengan 2 syarat iaitu istiqamah dan tidak mengikuti jalan-jalan orang yang tidak mengetahui. Katan Ayah Chik, maksud “orang yang tidak tahu” ialah orang yang hendak menang cepat ataupun orang yang berputus asa yang merasakan Islam tidak akan menang. Istiqamah pula ialah tetap teguh di atas jalan perjuangan dan melalui cara-cara berjuang yang betul.

Apapun yang berlaku di Syria pada masa mendatang, saya mengharapkan ia menatijahkan kebaikan untuk masa depan Islam di sini. Menentang kezaliman itu satu kewajipan, tetapi untuk memilih cara yang sesuai, kita serahkan kepada ahlinya di sini. Apabila ahlinya telah memilih, wajar bagi kita semua untuk mendokong dan menyokong. Kerana apa? Kerana kebangkitan itu dipimpin oleh ahlinya.

aww, i tulen you!

I tulen la!

Pernah dengar dialog di atas? Dialog ini pernah menjadi ikutan semasa zaman dahulu selepas melihat filem lakonan Sallleh Yaacob dan Os(lupa nama filem) Dalam babak ini, ada seorang permpuan bersuara garau yang melontarkan dialog tersebut. Teringat bagaimana reaksi Salleh Yaacob apabila mendengar suara tersebut.

Dialog, babak dan situasi itu ‘menjadi’ dan ‘berhantu’ kerana pada zaman dahulu, bilangan pondan SEMALAYSIA tidaklah ramai tetapi sekarang, tubuh wanita yang bersuara lelaki ini sudah tidak pelik lagi pada pandangan mata masyarakat Malaysia.

MISS PONDAN

Pertandingan Ratu Pondan Malaysia yang diadakan di Pahang baru-baru ini menjadi petanda bahawa masyarakat Malaysia sudah terlalu jauh daripada ajaran Islam. Saya kira, pertandingan ini mendapat lampu hijau daripada pihak yang berwajib dan tidak dilakukan secara sorok-sorok bahkan dikatakan kos untuk menganjurkan majlis tersebut mencecah sehingga 25 juta Ringgit Malaysia. Alangkah bahagianya kami yang mengaji di Syria ini, yang tidak mendapat sebarang tajaan jika sejumlah wang yang sebesar itu diagihkan kepada kami.

Lebih teruk lagi,  seorang penyanyi wanita yang bertudung memberikan komen seolah-olah mengiktiraf golongan ini. Sekiranya dahulu, mereka yang berpakaian menyerupai wanita sahaja telah dipandang serong, tetapi hari ini…mereka yang telah melakukan pembedahan untuk mengubah anggota badan telah diiktiraf oleh masyarakat yang jahil.Mungkin inilah kesannya apabila pengajian agama dijadikan sebagai sampingan dan bukannya keutamaan.

SEDARLAH WAHAI PONDAN DAN YANG MENGIKTIRAF PONDAN

Mungkin tulisan ini tidak disukai oleh golongan pondan dan mungkin yang bukan pondan juga mempersoalkan mereka yang mengata golongan ini.

Ingatlah akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Allah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang perempuan yang menyerupai lelaki

Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ini telah menyatakan sikap dan juga hukum bagi mereka yang menyerupai lelaki. Orang Islam wajib berpegang kepada hukum yang telah dinyatakan di dalam hadith ini. Oleh itu, haram bagi orang Islam mengubah jantinanya walau dengan apa cara sekalipun dan berdosa besar mereka yang mengiktiraf golongan ini.

Hadith daripada Sa’id al-Khudri RA yang bermaksud:

Sesiapa yang melihat kemungkaran di kalangan kamu maka hendaklah mengubah dan mencegah kemungkaran itu dengan tangannya, jika tidak mampu dengan lisannya dan jika tidak mampu dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.

Di dalam kitab al-Wafi, syarah Matan ‘Arba’in Imam Nawawi telah menyatakan bahawa  membenci dan mengingkari maksiat dengan hati itu adalah kewajipan setiap Muslim. Jika seorang Muslim tidak rasa sebegitu di dalam hatinya ketika melihat kemungkaran, itu adalah tanda rosaknya dan telah hilangnya iman di dalam hati seseorang.

Mereka yang redha dengan kemungkaran pula telah melakukan dosa yang besar kerana dengan redhanya seseorang itu terhadap sesuatu kemungkaran menyebabkan si pelaku tidak merasa malu dengan maksiat yang dilakukan sehingga menyebabkan pula masyarakat tidak malu dengan maksiat yang dilakukan.

Oleh itu, marilah kita tanya kembali hati kita. Adakah kita tidak merasa apa-apa sedangkan maksiat berleluasa di negara kita? Pohonlah kepada Allah agar memberikan nur dan hidayah kepada mereka dan kepada kita.

Kurang Bermaya(Siri dua)

Bila bercerita tentang Indhibat.net, tidak boleh tidak untuk bercerita pula tentang Zamry.com.

Saya menulis di zamry.com selama dua tahun dan tidak memperbaharuinya awal tahun ini kerana saya rasakan duit itu boleh digunakan untuk perkara lain.

Manisnya zamry.com kerana saya pernah menunaikan permintaan pembaca yang mahukan pendinding diri. Rasanya saya menulis berkenaan pendinding diri sebanyak empat siri~kepada yang ada simpan minta tolong e-mail pada saya ye~

Manisnya zamry.com kerana ahli keluarga membaca dan memberikan komen tentang penulisan saya.

Manisnya zamry.com kerana seorang penulis PTS membacanya dan dikatakan tersenyum ketika membaca entri dalam zamry.com.

Sebenarnya, saya tidak bertujuan menceritakan kelebihan ataupun kehebatan saya mahupun sesiapa tetapi Indhibat.net dan Zamry.com mempunyai nilai kenangan yang tersendiri kepada saya kerana di situlah saya belajar menulis, di situ juga saya mendapat ramai kawan, di situ juga saya dapat menyampaikan ilmu saya walaupun penyampaian dan pengisian dalam blog saya tidaklah sehebat mana.

Sengaja saya tidak memasukkan entri yang berat dan terlalu ilmiah kerana saya menulis di blog ini salah satu saya melepaskan tekanan, bersantai minda.

Itu hanya tinggal kenangan. Sekarang saya cuba memulakan tapak baru di zamriey.wordpress.com. Saya biarkan laman ini tanpa mengubah theme,header mahupun background kerana saya mahu blog ini stabil dengan entri terlebih dahulu.

Zamriey.wordpress.com masih dan akan mengekalkan gaya penulisan yang santai gaya penyampaian yang mudah pada perkiraan saya. Ia juga lebih kepada mengubat kerinduan keluarga kepada saya yang berada di perantauan.

Pentingkah seorang isteri?

Ketika tulisan ini dipaparkan, usia sudah menginjak 28 tahun… Kawan-kawan lain kebanyakannya dah berkahwin dan beranak-pinak.

Bosannya nak menjawab soalan ‘Bila nak kahwin?’

Ketahuilah semua yang pernah bertanyakan soalan ini, ketika usia sudah meningkat…Keinginan untuk kahwin menjadi sedikit pudar.

Bukan diri ini tidak tahu bahawa syaitan memainkan peranannya sedikit sebanyak untuk menganggu hati ini, cuma kadangkala kalah dengan bisikan itu.

Syaitan sememangnya tidak suka anak Adam berkahwin kerana dengan perkahwinan, semakin menyukarkan tugasnya menjahanamkan manusia, khususnya yang beragama Islam.

Apa yang anda lakukan sekiranya datang rasa malas kahwin ataupun sudah hilang keinginan untuk berkahwin?

Mungkin dengan mengerti peranan seorang isteri boleh mengubat rasa itu.

Hati ini kembali terasa kepentingan berkahwin apabila teringatkan bagaimana Khadijah menyelimut dan mententeramkan nabi Muhammad selepas mendapat wahyu pertama.

Bagaimana Aisyah sentiasa di sisi nabi menghiburkan Baginda ketika Baginda dilanda kesedihan dan kepenatan.

Bagaimana pula peranan Ummu Salamah dalam memberikan jalan penyelesaian ketika nabi kecewa dengan para sahabat yang mengingkari arahan Baginda s.a.w. dalam perjanjian Hudaibiyah. Kalaulah tidak kerana cadangan Ummu Salamah, sudah tentu sahabat semua dimurkai oleh Allah kerana menyebabkan Rasulullah murka.

Owh, begitu penting rupanya peranan seorang isteri dalam kehidupan seorang pendakwah.

Bukan Allah tidak boleh mententeramkan hari Rasulullah, bukannya Allah tidak boleh menggembirakan Rasulullah, bukan pula Allah tidak boleh memberikan wahyu untuk menyelesaikan masalah tetapi kerana ingin memberi pengajaran secara tidak langsung, itulah peranan seorang isteri kepada seorang yang ingin mengikuti jejak langkah dan menyambung perjuangan Baginda dan para sahabat.

Ketika duka, ada yang menggembirakan. Tika buntu ada yang membantu, tika resah gelisah dan susahada yang menjadi teman.

Moga sesiapa yang menjadi isteriku menjadi penguat tika lemah menghadapi ujian dan cabaran , pemberi ingat ketika terlalai dengan hiasan dunia, pemberi semangat ketika sudah berputus asa. Moga sesiapa yang menjadi isteriku bukan menyebabkan aku lemah, lalai, lupa dan meninggalkan jalan yang sudah ku pilih dan kutanamkan dalam diri.

Ya Rabb, birahmatika nastaghis!

Tidak bermaya

Lumrah hidup, pabila tidak ada…itulah yang dikenang-kenang. Dulu pandang sebelah mata pun tidak.

Orang cakap pasal blog la, jangan salah faham.

Sedang mencari semangat menulis yang kian hilang. Terkenang kembali kepada blog pertama; Indhibat.net.

Banyak kenangan manis padanya. Antaranya dengan indhibat.net la dapat berhubung semula dengan sahabat-sahabat yang dulunya berprogram bersama. Lebih manis dapat berhubung semula dengan Mukhtar suhaili, Amin Idris, membuat pautan blog antara satu sama lain malah mungkin di blog Muhtar Suhaili masih ada kesan-kesan sejarah Indhibat.net.

Malah,  Indhibat.net juga dulunya selalunya menerima kunjungan Ustaz Nik Abduh lantaran ketika beliau baru bertatih dalam arena blog ini, saya antara yang selalunya menyibuk dan buat-buat sibuk dalam blog beliau. Sehingga kini masih ada lagi Indhibat.net dalam pautan blognya.

Malu bercampur ‘kembang hidung’ melihat orang-orang yang popular seperti mereka sudi meletakkan Indhibat.net dalam pautan mereka. Namun, ia hanya tinggal kenangan.

Indhibat.net sudah berkubur lebih tiga tahun dahulu dan sekarang penulisnya juga hampir-hampir sahaja menguburkan dirinya daripada dunia blog dan penulisan.

Moga ALLAH memberikan kekuatan kepadaku.

Bermula semula

Assalamualaikum

Nampaknya saya kena bermula daripada bawah sekali lagi.

Dulu saya mula menulis di blog dengan ‘indhibat.net’ kemudian bertukar ke ‘zamry.com’ kira-kira dua tahun.

Selepas itu, saya tidak lagi menggunakan ‘zamry.com atas beberapa sebab. Antara sebabnya ialah malas masuk ke cc di Syria ini disebabkan lembab dan asap rokok yang berkepul.

Setelah agak lama tidak menulis, terasa rindu pula ingin menulis, apatah lagi memikirkan keluarga di kejauhan yang tidak lagi boleh membaca coretan saya.

Semangat menulis ini saya cuba letupkan di dalam diri saya agar saya kembali rajin menulis… Inilah yang dikatakan masalah konsisten bagi penulis-penulis picisan seperti saya ni ye.

Apapun, saya cuba untuk menulis sekali seminggu mulai sekarang.

Gumpalan Label