Hanya dengan mengingati Allah, Jiwa kan tenang

Alhamdulillah, masih ada terasa ingin menulis alaupun tidak seghairah dulu…Sekarang, agak lambat untuk memulakan penulisan. Semakin banyak belajar, terasa semakin jahil diri ini. Bila ingin mulakan penulisan, terasa jahilnya diri.Allah…Allah

Terpanggil untuk menulis pada malam buta ini kerana baru membaca laporan terkini murobbi yang dikasihi, yang pada ketika ini sedang menjalani rawatan di San Francisco.

Sepanjang hidup ini, ada empat orang yang saya rasakan kehadiran mereka betul-betul memberi kesan kepada saya.

‘Lau la murobbi, ma ‘araftu Robbi’

“kalaulah tidak kerana murobbi, aku tidak mengenali tuhanku”

Itulah perkataan yang boleh menggambarkan mereka ini.

Empat orang ini saya rasakan murobbi yang banyak memberi  kesan kepada diri saya. Mereka ialah Tn Guru Nik Aziz, Tn Guru Abd  Hadi, Ustaz Yahya Osman dan  Ustaz Haron Din.

Kenyataan ini bukanlah menidakkan jasa bakti pensyarah di university namun saya rasakan diri kurang terdidik berbanding bila bersama mereka . Mungkin saya sahaja yang terasa seperti itu.Malah, antara sebab terpikat dengan pengajian di Syria ini walaupun sijil tidak diiktiraf ialah kerana semua ustaz di sini bagaikan murobbi. Setiap hari kami bukan sahaja diberikan ilmu tetapi ditegur dan disemak amal ibadah, diperingatkan untuk menundukkan pandangan, untuk qiamullail dan lain-lain. Antara kata-kata ustaz di sini yang terpahat di hati namun masih sukar untuk istiqomah ialah:

1)      Tolib ilm kena tahajjud sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kalau tak buat, jangan mengaku tolib ilim.

2)      Tidak harus bagi tolib ilm solat subuh di rumah, bahkan perlu mewajibkan diri solat subuh jamaah di jamek.

Peringatan ini rasanya tidak pernah di dengar semasa pengajian di Malaysia(bukan bermaksud semua tempat pengajian) kecuali melalui empat orang murobbi yang dikasihi ini.

Entri kali ini hanya menyentuh dua orang sahaja memandangkan saya hanya berkesempatan bermua’yasah bersama mereka.

Ustaz Yahya Osman

Saya tidaklah begitu rapat dengan Ustaz Yahya Osman, malah Ustaz juga pasti tidak mengingati saya. Tetapi, walau tidak berjumpa bertahun-tahun pun, susuk tubuh Ustaz sentiasa jelas di ingatan.

Ustaz yang selalu bercakap mengenai kepentingan tarbiyah ini amat disayangi oleh mereka yang pernah mendapat tarbiyah. Susuk tubuh yang kecil itu, kini semakin uzur. Tetapi cuba hubungi beliau dan katakan anda ingin menjemput beliau untuk memberi pengisian tarbiyah. Dia akan bingkas mengatakan dia sihat dan bersedia memberikan pengisian walaupun langkahan kakinya sudah longlai tetapi kerana tarbiyah, tubuh kecil yang uzur itu seperti panglima perang yang gagah perkasa, melangkah dengan semangat di dada, dengan niat yang murni, demi perjuangan beliau tetap terus melangkah.

Saya hanya berkesempatan berusrah sekali sahaja bersama beliau dan beberapa kali mengiringi beliau memberikan ceramah tamrin nuqoba’ PAS. Namun, masa yang amat singkat itu terlalu berharga untuk saya yang lebih besar tubuh daripada beliau tetapi teramat kerdil jiwa dan semangat juang berbandingnya.

Janggut dan misai yang sudah memutih, cermin mata yang diikat, pengaruh lahjah arab yang masih belum hilang daripada mulut beliau sering menghiasi hati ini tatkala teringatkan beliau. Sungguh besar jasa tubuh kerdil itu, sungguh kental semangat tubuh yang mulai uzur itu. Moga Allah memeliharamu.

Ustaz Haron Din

Nama Ustaz Haron Din tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejak saya kecil lagi, nama ini menitip di bibir mereka yang cintakan ilmu. Apatah lagi mereka yang sukakan alam ghaib dan misteri.

Saya adalah antara yang amat meminati alam ghaib dan misteri ini. Novel misteri Tok Awang Ngah, Tamar Jalis dan Tok Awang Jambi menjadi peneman setia sejak kecil lagi. Novel itu jugalah diulang baca sedangkan PMR mahupun SPM sudah begitu hampir.

Apabila bercakap mengenai alam ghaib dan misteri ini, sudah tentu kita tidak boleh melupakan seorang tokoh pengubatan Islam ini yang telah mengasaskan Darussyifa.Pernah juga memasang angan-angan untuk menuntut ilmu daripada beliau, tetapi tidak tahu caranya.

Apabila sudah berkesempatan berjumpa dan mendengar ceramah ‘live’ Ustaz Haron, hati dan jiwa ini terbuka, mata menjadi sedar, akal terbangun daripada lena untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Tutur katanya, pandangan mata, senyumannya…Membuatkan hati terpaut. Apakan daya, saya hanya insan kerdil. Tidak mampu merapati susuk tubuh yang disayangi ramai itu.

Hari-harinya terlalu sibuk dengan program ceramah, dakwah dan usrah. Prinsipnya yang tegas amat dihormati.

Pernah dirinya tidak berupaya untuk bangun, tetapi digagahkan diri untuk melangkah, demi memberikan ceramah mingguannya. Hanya kerana tidak mahu mereka yang datang dari jauh kecewa dengan ketidakhadirannya.

Ramai anak muridnya yang mahukan beliau berehat tetapi takut untuk menasihati beliau kerana tahu bahawa Ustaz memang tetap akan berusaha memberikan ceramah.

Argh, ingin sahaja menjerit melarang ustaz memberikan ceramah! Tetapi suara itu hanya jauh di lubuk hati, tidak mampu dikeluarkan. Siapalah diri ini untuk memberikan nasihat kepada ulama tersohor itu.Takut den!

Kini, beliau sedang menjalani rawatan jantung di San Francisco. Doktor menasihatkan beliau untuk mengurangkan 25% daripada rutin biasa. Anak-anak murid di Malaysia pula tidak sabar mendengar ceramah daripada beliau. Adakah anda fikir Ustaz Haron akan menghampakan anak muridnya?

Untuk rakan-rakan di Darussyifa Bangi, janganlah kecewa apabila bukan Ustaz yang memberikan kuliah. Janganlah kerana orang lain yang memberikan kuliah, anda jadi patah semangat untuk meneruskan pengajian…Fahamilah keadaan Ustaz dan keluarga beliau. Contohilah rakan-rakan di cawangan-cawangan yang lain. Ustaz hanya turun 2-3 kali untuk memberikan kuliah kepada mereka, tetapi mereka semakin bersemangat meneruskan pengajian malah kadang-kadang lebih baik pemahaman mereka berbanding mereka yang berada di Bangi.

Janganlah merungut jika tidak dapat bersalaman dengan Ustaz. Tahu, anda semua mahukan berkat dalam menuntut ilmu dan berkat orang soleh tetapi buat seketika, bagilah ruang kepada Ustaz untuk betul-betul sihat.

Hormatilah penceramah-penceramah lain kerana sanad ilmu mereka tetap sampai kepada Ustaz dan mereka sudah semestinya diperakui oleh Ustaz sebelum diberikan keizinan untuk memberikan kuliah.

Apa yang lebih penting adalah berpegang kepada disiplin yang Ustaz selalu ingatkan.Antaranya ialah:( Kalau tidak salah saya)

1)      Jangan menawarkan diri  -Alhamdulillah, saya masih belum melanggarnya.

2)      Jangan meminta bayaran – Juga masih tidak melanggarnya.

3)      Jangan menggunakan teknik scan- Apa tu?Tak pernah buat juga.jangan buat tau,jangan!

4)      Jangan menceritakan perkara ghaib- Juga masih tidak melanggarnya.

5)      Jauhi rawatan yang syubhah, menggunakan alatan yang pelik-pelik.

Walaupun ada antara pesakit yang menganggap Darussyifa lekeh kerana tiada teknik scan dan sebagainya, Inilah yang membezakan Darussyifa. Sememangnya merawat pesakit sehingga sembuh adalah satu kepuasan tetapi jangan lupa, kesembuhan itu hanya milik Allah Al-Syaafi. Apa yang saya faham, merawat hati pesakit sehingga dia sabar dan redha juga adalah satu rawatan yang berjaya.

Maaf jika ada yang terasa. Ini hanyalah luahan hati insan yang kerdil. Saya bukanlah orang penting, malahan Ustaz juga pastinya tidak mengingati saya. Cukuplah bayang tubuh Ustaz jelas diingatan ini. Cukuplah walau hanya berjumpa Ustaz di dalam mimpi. Berborak bersama Ustaz sambil beliau bersandar di belakang saya di dalam mimpi juga sudah cukup manis dan bermakna untuk diingati.

Saya menulis ini kerana saya sayangkan beliau sebagai murobbi, sebagai ayah. Sudah pasti Ustaz tidak mengetahui pun blog saya ini, tidak akan membaca entri ini tetapi saya puas kerana cinta sudah terucap, rindu sudah terubat. Sekali lagi, maaf jika ada pembaca yang terasa.

Tanggungjawab kita kepada mereka

Sebagai orang yang menghargai jasa orang lain, kita seharusnya mengambil sedikit tanggungjawab agar usaha mereka tidak sia-sia. Nasihat ini khusus kepada diri saya yang sering alpa sebenarnya. Antara yang boleh kita lakukan ialah:

1)      Berdoa untuk kesihatan dan kesejahteraan mereka

2)      Mengamalkan nasihat dan ajaran mereka.

Oleh itu, marilah sama-sama berdoa untuk kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan mereka. Dengan niat syifa(kesembuhan) dan mengeluarkan mereka daripada kesusahan…Al-Fatihah……

*Artikel ini ditulis pada 22/9/2011.Baru hari ini berkesempatan untuk memuatnaik ke blog.

*Sekarang, Ustaz Haron sudahpun pulang ke Malaysia.

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Gumpalan Label

%d bloggers like this: