Alhamdulillah, dalam kesibukan kebanyakan daripada kita yang masih berada di sini, warkah MySy ini dapat juga diterbitkan lagi. Tidak lain, semua ini kerana pertolongan Allah SWT.
Terlebih dahulu, saya memohon ampun dan maaf di atas beberapa kesalahan dan kesilapan warkah MySy edisi kedua yang lalu. Ini adalah disebabkan kecuaian dan kelalaian saya selaku ketua editor.
Terlalu banyak yang ingin disentuh di dalam MySy edisi ketiga ini. Antaranya Ramadhan yang bakal menjelang, isu BERSIH 2.0, hiburan melampau dan sebagainya. Setelah dibincangkan, fokus pada kali ini ialah “Hiburan Candu Masyarakat” dan difokuskan lagi perbincangannya kepada mahasiswa pengajian Islam.
Saya sendiri terasa agak berat untuk meneruskan fokus sekitar tajuk ini walaupun saya yang mencadangkannya. Terasa berat kerana sudah dapat membayangkan, saya akan diperli oleh kebanyakan rakan-rakan di sini kerana saya juga termasuk di dalam golongan itu, tetapi apa yang ingin MySy sampaikan bukan untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi ingin mengajak semua pembaca berfikir demi kebaikan agama dan masyarakat.
Bukan pula kami mengharamkan hiburan secara total tetapi yang ingin difokuskan di sini ialah hiburan yang melampau, yang menjadi candu bagi masyarakat dunia dan masyarakat Malaysia secara khusus.
“Hiburan Candu Masyarakat” bermaksud masyarakat pada hari ini tidak boleh dipisahkan dengan hiburan sedangkan ramai yang mengetahui bahawa hiburan yang melampau itu boleh membinasakan, membazir masa yang berharga. Apatah lagi bagi mahasiswa pengajian Islam, sepatutnya masa untuk memuat turun filem, drama dan seumpamanya digunakan dengan lebih maksima untuk mengulangkaji pelajaran dan sebagainya.
Sepertimana candu yang menyebabkan orang ketagih, seronok,bagaikan berada di dunia sendiri, begitulah juga kesan hiburan kepada diri manusia. Payahnya penagih candu ini hendak memisahkan diri mereka daripada candu, begitu jugalah ‘penagih hiburan’ ini.
Usah pergi jauh, saya sendiri sudah beberapa kali memadam drama dan filem yang berada di dalam simpanan saya apabila mengingatkan tujuan kehadiran ke Syria ini bukanlah untuk berseronok, malangnya tidak lama kemudian, folder ‘hiburan’ muncul semula. Sudah beberapa kali ingin menggantikan hiburan dengan melebihkan mendengar kuliah ilmu, namun ternyata bukan semudah itu. Perubahan ini memerlukan kerjasama di antara ‘pembekal dan penerima’. Selagimana pembekal masih giat menjalankan aktivitinya, sukar untuk si penerima yang ingin berubah menahan godaan yang ada.
Lebih memalukan apabila ada di antara kita memaparkan artis kegemaran, rancangan hiburan kegemaran, trademark artis dan sebagainya di dalam laman sosial peribadi Facebook. Secara tidak langsung, perbuatan ini mencemar maruah golongan ustaz dan ustazah kerana golongan inilah kita harapkan dapat menghakis budaya hedonisme yang semakin membarah di kalangan masyarakat.
Saya tidak menuding jari kepada sesiapa kerana saya juga di antara mereka yang menonton Maharaja Lawak. Cuma saya tersedar, saya perlu lebih berusaha untuk berubah dan mengurangkan hiburan daripada hidup saya kerana saya pernah tergelak melihat lawak yang dipersembahkan sedangkan mereka itu berpakaian wanita, yang jelas dimurkai oleh Allah. Sudah matikah hati kita, sudah hilangkah iman kita sehingga kita boleh tergelak melihat kemungkaran?
Janganlah ada suara sumbang mengatakan saya membuka pekung di dada, saya memalukan mahasiswa pengajian Islam. Terimalah kenyataan dengan berlapang dada bahawa inilah hakikat kita dan saya hanya ingin kita semua memperbaiki diri kita. Bukan salah berhibur tetapi biarlah berpada, jangalah sampai terpengaruh dengan filem ataupun rancangan yang ditonton sehingga dialog menjadi ikutan. Tontonlah filem ataupun hiburan yang ‘kurang rosaknya’ dengan alasan untuk menghilangkan tekanan, tetapi jangan pula diulang tonton berkali-kali sedang masih banyak ceramah yang tidak diulang dengar.
Sempena dengan kehadiran bulan Ramadhan ini, di mana semuanya berlumba menulis status menunjukkan kecintaan dah sukanya bertemu Ramadhan semula, saya mencabar diri saya dan rakan-rakan untuk membuktikan kata-kata itu dengan perbuatan meninggalkan kalau tidak secara total pun hiburan sepanjang 30 hari Ramadhan ini, kita dapat mengikis 60-70 peratus hiburan yang tidak bermanfaat kepada diri kita. Moga-moga selepas 30 hari ini, kesan candu hiburan kepada diri kita sudah berkurangan dan mampu meninggalkan budaya berhibur yang melampau untuk menumpukan kepada perkara yang lebih besar dan penting.
Akhir kata, fikirlah dengan mata hati tanpa dipengaruhi emosi. Ampun maaf dipinta sekiranya ada yang terluka dengan tulisan saya ini.
Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak daripada saya dan krew MySy. Gunakanlah kesempatan Ramadhan kali ini untuk menambahkan iman dan taqwa kita kepada-Nya.
Wassalam.
Muhamad Zamri Abdul Rahman
Damascus
Tinggalkan Jawapan