Ketika tulisan ini dipaparkan, usia sudah menginjak 28 tahun… Kawan-kawan lain kebanyakannya dah berkahwin dan beranak-pinak.
Bosannya nak menjawab soalan ‘Bila nak kahwin?’
Ketahuilah semua yang pernah bertanyakan soalan ini, ketika usia sudah meningkat…Keinginan untuk kahwin menjadi sedikit pudar.
Bukan diri ini tidak tahu bahawa syaitan memainkan peranannya sedikit sebanyak untuk menganggu hati ini, cuma kadangkala kalah dengan bisikan itu.
Syaitan sememangnya tidak suka anak Adam berkahwin kerana dengan perkahwinan, semakin menyukarkan tugasnya menjahanamkan manusia, khususnya yang beragama Islam.
Apa yang anda lakukan sekiranya datang rasa malas kahwin ataupun sudah hilang keinginan untuk berkahwin?
Mungkin dengan mengerti peranan seorang isteri boleh mengubat rasa itu.
Hati ini kembali terasa kepentingan berkahwin apabila teringatkan bagaimana Khadijah menyelimut dan mententeramkan nabi Muhammad selepas mendapat wahyu pertama.
Bagaimana Aisyah sentiasa di sisi nabi menghiburkan Baginda ketika Baginda dilanda kesedihan dan kepenatan.
Bagaimana pula peranan Ummu Salamah dalam memberikan jalan penyelesaian ketika nabi kecewa dengan para sahabat yang mengingkari arahan Baginda s.a.w. dalam perjanjian Hudaibiyah. Kalaulah tidak kerana cadangan Ummu Salamah, sudah tentu sahabat semua dimurkai oleh Allah kerana menyebabkan Rasulullah murka.
Owh, begitu penting rupanya peranan seorang isteri dalam kehidupan seorang pendakwah.
Bukan Allah tidak boleh mententeramkan hari Rasulullah, bukannya Allah tidak boleh menggembirakan Rasulullah, bukan pula Allah tidak boleh memberikan wahyu untuk menyelesaikan masalah tetapi kerana ingin memberi pengajaran secara tidak langsung, itulah peranan seorang isteri kepada seorang yang ingin mengikuti jejak langkah dan menyambung perjuangan Baginda dan para sahabat.
Ketika duka, ada yang menggembirakan. Tika buntu ada yang membantu, tika resah gelisah dan susahada yang menjadi teman.
Moga sesiapa yang menjadi isteriku menjadi penguat tika lemah menghadapi ujian dan cabaran , pemberi ingat ketika terlalai dengan hiasan dunia, pemberi semangat ketika sudah berputus asa. Moga sesiapa yang menjadi isteriku bukan menyebabkan aku lemah, lalai, lupa dan meninggalkan jalan yang sudah ku pilih dan kutanamkan dalam diri.
Ya Rabb, birahmatika nastaghis!
Tinggalkan Jawapan